KONSEP KEHIDUPAN DALAM ISLAM
Oleh: Kassim Ahmad
Apakah yang patut seseorang lakukan dengan kehidupannya? Dari waktu dia bangun pagi-pagi hingga dia tidur, bagaimanakah dia harus mengisikan masanya? Soalan-soalan ini kerap mendatangi dia, khasnya apabila dia di peringkat remaja yang sedang mencari-cari tapak kehidupannya. Dalam keadaan dunia hari ini, yang kian banyak ditentukan oleh sains dan teknologi moden, mungkin soalan ini ditanya oleh orang dewasa juga, yang kehilangan pedoman. Melihat kepada perkembangan sastera absurd dalam abad kedua puluh, hal ini memang suatu kenyataan.
Pengalaman manusia telah mengajar kita bahawa tiap-tiap masalah boleh dilihat dari tiga sudut pandangan. Dengan kata-kata lain, ada tiga aliran falsafah yang pokok. Pertama, aliran materialisme yang mengajar kita melihat dunia dari segi benda. Manusia itu benda. Roh, akal dan moral itu sistem-sistem pengetahuan yang dibangunkan daripada benda, yang menjadi asas kehidupan. Roh, akal dan moral tidak wujud kecuali sebagai tumbuh-tumbuhan daripada benda. Aliran-aliran falsafah liberalisme dan komunisme mewakili dua aliran falsafah materialisme yang besar dalam abad ini. Falsafah ini ditolak oleh Islam. Falsafah-falsafah ini juga telah dan sedang runtuh di depan mata kita.
Kedua, aliran mistisme. Mistisme mengajar kita menolak dunia. Dunia ini fana dan tidak wujud, kecuali sebagai suatu bayang-bayang saja. Yang wujud hanya roh yang harus kita pupuk dan bangunkan melalui ibadah-ibadah agama dan pemupukan akhlak individu yang baik. Telah wujud plebagai aliran mistisme dalam sejarah manusia, termasuk mistisme-mistisme Hindu, Budhaiah, Yahudi, Kristen dan Islam. Benarkan saya memetik jadual harian seorang mistik Islam yang dimuatkan dalam majalah MASSA keluaran 24 Ogos, 1996:
Apabila aku memulakan zikir selepas waktu `isyak, tidak akan kusudahi kecuali apabila menjelang terbit fajar. Kemudian aku sembahyang subuh; setelah itu berzikir hingga waktu duha; maka akupun sembahyang sunat duha. Setelah itu aku berzikir lagi sehingga waktu zohor dan menunaikan sembahayang zohor. Kemudian aku berzikir sehingga waktu asar dan sembahyang.. Selepas asar, aku terus berzikir sehingga waktu maghrib dan sembahyang maghrib, diikuti dengan zikir lagi sehingga waktu `isyak dan begitulah seterusnya. (h. 51)
Aliran-aliran mistik masih wujud dalam semua masyarakat sekarang. Aliran mistisme juga ditolak oleh Islam. Mereka juga telah gagal untuk membangunkan tamadun manusia, kerana pembangunan tamadun mesti bermula dengan pembangunan ekonomi yang ditolak oleh aliran mistik.
Islam, iaitu aliran falsafah yang ketiga, ialah pandangan hidup yang bukan materialis dan bukan juga mistis. Islam ialah jalan tengah, jalan yang lurus, antara dua jalan yang menyeleweng, seperti yang ditegaskan dalam Quran. Islam tidak menolak dunia, kerana dunia ini sebagian daripada Alam Raya yang amat luas, dan kehidupan manusia di dunia sebagian daripada kehidupannya yang amat panjang di Alam Raya. Selepas kita mati di dunia, kita akan dibangkitkan semula di Akhirat dan kehidupan kita di sana akan terus dalam suatu jangka masa yang amat lama hingga waktu yang ditetapkan oleh Tuhan apabila seluruh Alam Raya akan hapus. Ini semua diterangkan oleh Tuhan dalam Quran.
Dunia sebenarnya ada dua aspek: dunia rendah atau dunia hawa-nafsu, dan dunia tinggi atau dunia moral dan spiritual. Islam menolak dunia hawa-nafsu, bukan dalam erti kata kita tidak boleh makan-minum dan berkahwin, tetapi dalam erti kata makan-minum dan kahwin itu bukan matlamat hidup. Kita perlu makan-minum dan berkahwin supaya kita boleh bekerja untuk mewujudkan sebuah dunia yang baik, yang adil, selamat dan bahagia. Islam menggabungkan aspek material dengan aspek moral-spiritual dalam suatu kesatuan yang harmonis dengan meletakkan aspek moral-spiritual sebagai pemimpin. Inilah pandangan hidup Islam, pandangan hidup yang benar, seperti yang diisytiharkan oleh Tuhan Sendiri dalam Quran.
Namun demikian, konsep kesepaduan hidup yang diajar oleh agama kita tidak diamalkan oleh kebanyakan orang Islam di Malaysia. Kita diajar bahawa agama itu ialah bersembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat dan naik haji. Walaupun sejak tahun-tahun 70-an sesetengah kita melaung-laungkan selogan kesatuan agama dan politik atau kesatuan dunia dan akhirat, kita gagal mengamalkan selogan ini. Mungkin kita kurang faham makna konsep kesatuan itu. Tetapi maknanya memang terang, iaitu kehidupan mengikut Islam tidak harus dibezakan antara agama dengan dunia. Semuanya -- ibadah-ibadah keagamaan dan aktiviti-aktiviti lain, termasuk ekonomi, politik, kemasyarakatan, sains, teknologi dan kebudayaan -- dirangkumi dalam konsep kehidupan Islam. Hal ini bukan saja terbukti dalam ajaran Quran yang meliputi semua aspek ini, tetapi juga terakam dalam kehidupan Nabi Muhammad yang menjadi contoh kepada kita. Nabi Muhammad bukan saja memimpin sembahyang, tetapi beliau juga pemimpin kerajaan, hakim, panglima perang, ketua masyarakat, ketua keluarga, suami dan warga negara-kota Madinah yang beliau dirikan itu.
Di Malaysia pada hari ini, orang Islam melakukan ibadah-ibadah agama, seperti yang diperturunkan oleh nenek-moyang kita. Tetapi dalam bidang-bidang keduniaan, khasnya ekonomi dan politik, kita mengamalkan sistem liberal Barat, dengan dualisme antara sistem Barat dan sistem tradisional agama dalam pendidikan dan perundangan. Jadi, pada keseluruhannya, kita mengamalkan dualisme: dalam agama kita ikut tradisi; dalam hal keduniaan kita ikut Barat. Ini kerana sistem Islam yang dikembangkan dalam zaman Nabi di bawah Perlembagaan Madinah telah menjadi beku dalam abad ketiga belas dan merosot dalam zaman penjajahan, khasnya dalam abad ke-19, apabila dunia Islam jatuh ke tangan penjajahan Barat.
Penjajahan Barat memang pada pokoknya anti-Islam. Falsafahnya materialis. Kita sedang berada pada tahap dunia Islam sedang menemui kembali akar-umbi Islamnya. Oleh kerana keruwetan dunia ini, sesetengah kita condong ke aliran mistisme dan sesetengah kita condong ke aliran materialisme untuk melawan Barat materialis atas nama Islam. Tetapi, Islam, seperti yang telah kita huraikan, bukan mistisme dan bukan materialisme. Kita terjebak di antara dua penyelewengan falsafah.
Kedua-dua falsafah ini, materialisme dan mistisme, sudah bobrok. Mereka sedang runtuh di depan mata kita, di negara kita sendiri dan di seluruh dunia. Krisis yang sedang melanda UMNO menandakan kebobrokan materialisme; krisis yang sedang melanda PAS menandakan kebobrokan mistisme. Perang Teluk, "Ibu Segala Perang", mengikut istilah Presiden Saddam Hussein, pada hemat saya, memperlihatkan kepada kita, secara dramatik, pertentangan-pertentangan pokok -- materialisme-mistisme-Islam -- dunia kita hari ini. Dunia di sebalik tabir, yang akan lahir dari pertentangan-pertentangan besar ini, dalam abad ke-21 ialah dunia yang akan menemui kembali Islam yang sebenar.
Apakah Islam yang sebenar? Seperti yang telah kita katakan, Islam ialah jalan yang lurus (siratul-mustaqim), suatu cara hidup saksama (ummatan wasatan, umat saksama, dalam istilah Quran ) di antara jalan materialis dan jalan mistis. Islam menolak kedua-dua materialisme dan mistisme. Islam menganjurkan perdamaian antara tuntutan-tuntutan diri, dunia atau masyarakat, dan Ilahi. Tidak ada pertentangan di antara ketiga-tiga tuntutan ini. Perdamaian ini bukan dicapai melalui konsep kehidupan beku seperti dalam gagasan Budhaiah. Perdamaian dicapai melalui konsep kehidupan aktif dan dinamik mengubah dunia selaras dengan hukum Ilahi. Martabat manusia sebagai khalifat atau pemerintah di bumi, seperti yang diberikan kepadanya oleh Tuhan dalam Quran, persis merujuk kepada kehidupan aktif dan kreatif ini.
Tetapi perubahan bagaimana? Kaum penjajah juga ingin mengubah dunia. Mereka ingin menjadikan seluruh manusia hamba mereka. Lihat keganasan dan kebiadaban kelakuan kepala kaum neokolonialis dunia, kaum oligarki Inggeris-Amerika di Iraq. Keganasan dan kebiadaban itu memperlihatkan benci mereka yang amat sangat terhadap mana-mana negara yang berjiwa bebas yang mahu melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai khalifah Tuhan di dunia. Malah kaum neokolonialis ingin berlagak seperti tuhan! Semua mesti tunduk kepada mereka!
Islam mahu mengubah dunia mengikut hukum Ilahi. Para mukmin itu hamba dan khalifah Tuhan yang rela sekaligus. (Semua manusia hamba dan khalifah Tuhan juga, tetapi yang kafir itu tidak rela, malah mereka memberontak terhadap Tuhan.) Para mukmin mahu mengubah dunia dari yang kurang baik kepada yang lebih baik dan seterusnya mengikut suatu skala moral yang kian meningkat. Konsep kehidupan ini telah dirumuskan dalam Quran dalam beberapa buah ayat yang ringkas dan padat:
Katakanlah, "Sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku untuk Tuhan, Tuan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya. Demikianlah yang telah diperintahkan kepadaku, dan aku di antara yang awal-awal tunduk." (Al-An`am, 162-63)
Tuhan telah membeli dari orang mukmin diri dan harta-benda mereka dengan bayaran Syurga. Mereka berperang di jalan Tuhan, lalu mereka membunuh dan dibunuh. Itulah janji Tuhan yang benar dalam Taurat, Injil dan Quran. Siapakah yang lebih setia kepada janjinya daripada Tuhan? Oleh itu, bergembiralah kamu dengan pertukaran yang kamu lakukan dengan-Nya. Itulah kemenangan yang terbesar. (Al-Taubat, 111)
Demikianlah hidup dalam Islam itu suatu "perjuangan di jalan Tuhan", "menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan" untuk mewujudkan sebuah dunia yang kian meningkat dari segi moral. Peperangan, penyakit, penindasan, kemiskinan, kejahilan, dari kehidupan liar dan tidak beradab dalam gua, manusia meningkat setapak demi setapak hingga mencapai tahap kehidupan bertamadun dengan sains dan teknologi moden. Dari satu segi, kita masih tidak berubah dari zaman pra-tamadun: peperangan, penyakit, kejahilan, kebodohan, penindasan dan kemiskinan masih berlaku. Dari segi lain, kita sudah berubah banyak. Kita mempunyai sebuah kitab suci yang lengkap dan sempurna, iaitu Quran, di tengah-tengah kita. Kita mempunyai sains dan teknologi moden yang boleh menghapuskan kemiskinan, penyakit dan kejahilan di seluruh dunia. Kalau kita mahu, kita boleh berpandukan Quran serta menghapuskan peperangan dan penindasan serta mewujudkan sebuah dunia yang aman, adil, makmur dan bahagia.Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya sudah mewujudkan sebuah dunia yang demikian di Semenanjung Arab pada awal abad ketujuh. Kita perlu mengikut teladan beliau serta mewujudkan sebuah masyarakat antarabangsa mengikut prinsip-prinsip Perlembagaan Madinah, yang memang termaktub dalam Quran, serta mewujudkan sebuah tamadun baru yang lebih gemilang daripada mana-mana tamadun yang lalu.
Yang menghalang umat Islam daripada berbuat demikian sekarang ialah umat Islam sendiri. Konsep kehidupan yang mereka pegang tidak betul. Seperti yang telah kita katakan, sesetengah mereka berpegang kepada faham materialis dan bekerjasama dengan kaum neokolonialis yang tujuannya menindas Islam. Sesetengah menolak faham materialis dan menentang kaum neokolonialis, tetapi berpegang kepada faham mistis yang juga ditolak oleh Islam, dan dengan itu, secara tidak langsung, mengekalkan dunia kaum kolonialis. Inilah punca kelumpuhan umat Islam sekarang. Oleh itu, umat Islam di Malaysia perlulah kembali kepada faham Islam yang sebenar, yang menjadikan seluruh hidupnya ( 24 jam sehari, bukan dalam masa-masa melakukan ibadah agama saja!) suatu perjuangan untuk mewujudkan sebuah masyarakat nasional dan internasional yang bermoral.
Suatu kelemahan umat Islam yang ketara ialah mereka tidak pandai bersatu. Mereka taksub kepada fahaman masing-masing dan mahu memaksakan faham mereka terhadap semua orang. Permusuhan antara kaum Sunni dan kaum Syiah dan tekanan terhadap kaum Ahmadiyah dan kaum-kaum lain yang tidak sependapat dengan fahaman perdana dalam masyarakat adalah di antara contoh-contoh ketaksuban ini. Ketaksuban ini merugikan umat Islam sendiri, kerana ia menghalang umat Islam daripada bersatu membangunkan tamadun Islam yang baru. Mengapakah kita tidak mengutamakan pegangan tauhid beriman kepada Tuhan Yang Esa serta membenarkan perbezaan pendapat tentang kaedah dan cara?
Eloklah pemimpin dan cerdik pandai kita beri perhatian yang berat kepada usaha mewujudkan semula semangat persaudaraan dan perpaduan di kalangan umat Islam. Di atas dasar persaudaran dan perpaduan Islam inilah baru kita boleh bangun semula serta memberi pimpinan kepada dunia yang sedang hancur. Kita tentu tidak boleh bersetuju dalam semua hal, tetapi, melalui musyawarah, kita boleh mencapai persetujuan dalam banyak hal yang harus kita laksanakan. Hanya dengan demikian beradasarkan semangat persaudaraan dan perpaduan Islam tadi, kita boleh mengalahkan musuh Islam dan musuh manusia kini, iaitu kaum neokolonialis A.S.-Inggeris, serta bekerjasama dengan semua bangsa untuk membangunkan sebuah dunia yang aman, adil dan bahagia untuk keturunan kita dalam Abad Kedua Puluh Satu dan abad-abad seterusnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment